MAKAN : SALAH SATU PERINTAH ALLAH SWT
Sesungguhnya apa yang diciptakan oleh Allah SWT mempunyai hikmah yang amat besar sama ada yang hidup melata di atas muka bumi, yang terbang di udara, yang hidup di air, manusia, tumbuhan dan sebagainya. Semua itu menggambarkan kebesaran dan kekuasaan Allah.
Firman Allah: dalam surah Al-Mukminun ayat 51, Maksudnya: "Wahai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik lagi halal, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Firman Allah: dalam surah Al-Baqarah ayat 172, Maksudnya: "Wahai orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadah kepadanya.”
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 168, Maksudnya: "Wahai sekalian manusia makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
Kesemua ayat-ayat di atas menerangkan perintah Allah Taala ,agar manusia memakan makanan yang baik lagi halal agar mereka mendapat kebaikan dan kesihatan.
Islam amat mementingkan soal pemakanan, kerana ianya amat member kesan kepada sistem kehidupan manusia itu sendiri. Empat faktor utama yang boleh mengganggu keseimbangan kehidupan manusia ialah pemakanan, persekitaran/emosi/akhlak, amalan/ perbuatan dan gangguan tenaga.